NAGANO – Penyelidik di Universiti Shinshu dan institusi lain telah mencipta dron pengesan bau menggunakan antena yang diambil daripada serangga hidup.
‘Dron serangga’ secara autonomi boleh mengesan bau atau feromon. Para penyelidik berharap, dengan meluaskan julat yang boleh mengesan bau dan akhirnya menjadikannya dapat mengesan bau manusia, mereka akan menjadikan dron itu sebagai alat berguna untuk aktiviti mencari dan menyelamat di tapak bencana.
FEROMON DARIPADA BETINA
Rama-rama ulat sutera jantan dikenali untuk mencari rama-rama betina dengan menggunakan antenanya bagi mengesan feromon yang dikeluarkan oleh betina.
Seorang penyelidik di Fakulti Sains dan Teknologi Tekstil, Profesor Madya Universiti Shinshu Daigo Terutsuki, 36, mula menyelidik cara menggunakan kemampuan serangga itu pada 2020, ketika dia bekerja sebagai penolong profesor pelantikan khas di Universiti Tokyo.
Dia melakukan penyelidikan serius tentang kemungkinan menggunakan kemampuan itu untuk pengesanan bau.




Terutsuki memasang antena yang dipotong daripada rama-rama ulat sutera ke elektrod dan memasangnya sebagai sensor pengesan bau pada dron kecil berukuran 10 sentimeter persegi.
Dengan menukar maklumat yang dikesan oleh antena kepada isyarat elektrik menjadikan dron itu dapat terbang secara autonomi kepada sumber feromon.
Antena boleh berfungsi selama kira-kira lima jam walaupun selepas ia dipotong daripada serangga, kata Terutsuki.
Dron yang pertama kali disiapkan oleh Terutsuki pada 2021 hanya boleh mengesan dalam jarak kira-kira dua meter.
Kali ini, Terutsuki bekerjasama dengan penyelidik lain, pakar dalam mekanisme penerbangan serangga dari salah sebuah Sekolah Siswazah Universiti Chiba, untuk mencipta versi dron yang dipertingkatkan dengan jarak sehingga lima meter.
Satu faktor yang membantu mereka berjaya mengembangkan julat adalah idea yang diperoleh daripada kepak sayap rama-rama ulat sutera.
Semasa proses penyelidikan, mereka mendapati apabila rama-rama ulat sutera menggerakkan sayapnya, Ia mencipta arus udara yang membawa feromon ke antenanya.
Mereka meniru putaran kipas dron itu seperti kepakkan sayap serangga dan mereka bentuk dron itu untuk membawa bau kepada sensor yang disambungkan ke antena.
Mereka juga memberi perhatian kepada tingkah laku serangga yang berulang kali berhenti di udara sambil menjejaki sumber bau.
Diinspirasikan daripada tingkah laku itu, dron mereka tidak terbang dalam garis lurus tetapi berhenti di udara pada selang masa yang tetap dan berputar 120 darjah setiap kali supaya ia dapat mengesan sumber bau dengan lebih tepat.
“Penyelidikan ini tidak mungkin berjaya jika kami tidak melangkaui pemikiran manusia untuk belajar daripada organisma lain,” kata Terutsuki.
SITUASI BENCANA
Diharapkan teknologi itu boleh digunakan di lokasi bencana pada masa hadapan. Jika dron yang boleh bertindak balas terhadap bau manusia ingin dicipta, ia boleh digunakan untuk mencari orang yang memerlukan bantuan.
Menggunakan hasil penyelidikan terkini, Terutsuki dan rakan penyelidiknya sedang mencipta sensor yang menggunakan antena nyamuk, yang boleh mengesan bau manusia.
Bertujuan untuk meletakkan penyelidikan mereka untuk kegunaan praktikal, mereka menemu bual anggota bomba dan anggota Pasukan Pertahanan Diri yang telah terlibat dalam aktiviti menyelamat berikutan Gempa Besar Jepun Timur dan Gempa Besar Hanshin.
“Dron boleh masuk ke tempat berbahaya yang mana anjing penyelamat bencana pun tidak boleh pergi,” kata Terutsuki dengan penuh semangat.
“Ia adalah jenis teknologi yang diperlukan di lapangan dan kami mahu menjadikannya nyata dengan segala cara,” tambahnya. – ANN/The Yomiuri Shimbun

