TEHRAN, 13 OKT – Iran berkata sebuah dron yang tidak dikenal pasti terhempas berhampiran sempadannya dengan Azerbaijan hari ini, tatkala Baku dan Yerevan saling menuduh mencabul gencatan senjata dalam pertempuran Nagorno-Karabakh.
Dron itu terhempas di sebuah kampung di daerah Parsabad, wilayah Ardebil, di sepanjang sempadan utara Iran, beritahu penolong gabenor Behrouz Nedayi kepada agensi berita IRNA.
“Identiti dron dan punca ia terhempas di kawasan itu sedang disiasat,” kata beliau, tanpa melapor sebarang kerosakan.
Menurut IRNA, dron itu ‘mungkin milik tentera Azerbaijan atau Armenia berdasarkan pertempuran di luar sempadan utara Iran.’
Kedua-dua negara itu telah dibelenggu dalam perbalahan berdekad-dekad lamanya berhubung Nagorno-Karabakh, kawasan etnik Armenia yang berpisah dari Baku dalam peperangan 1990 yang meragut kira-kira 30,000 nyawa.
Menteri luar Armenia dan Azerbaijan bersetuju pada Sabtu untuk mengadakan gencatan senjata kemanusiaan, tetapi pertempuran yang meletus berkali-kali telah menjejas perjanjian gencatan senjata.
Iran telah menyeru kedua-dua pihak supaya menamatkan pertempuran dan menawarkan untuk menjadi perantara dalam rundingan. Ia juga memberi amaran mengenai sebarang ‘serangan’ selepas tembakan mortar melanda kampung Iran di sempadan.
Republik Islam itu menjadi tempat tinggal kepada sebahagian besar komuniti Azeri, terutamanya di barat laut.
Menurut beberapa anggaran, komuniti Azeri membentuk 10 juta daripada 80 juta penduduk Iran, yang juga tempat tinggal kepada hampir 100,000 penduduk Armenia. – AFP