Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Sebagai sebahagian daripada aktiviti pemasaran tahunannya, DSTIncomm menganjurkan Pesta Samsung yang berlangsung di DSTIncomm, Gadong bermula hari ini.
Perasmian pesta tiga hari itu telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir ialah Ketua Jualan Samsung Singapura, Keith Lai selaku jemputan khas.
Penganjuran pesta berkenaan juga merupakan komitmen DSTIincomm selaku pengedar utama telefon bimbit Samsung di Brunei, kepada Samsung Asia Pte Ltd dan pelanggan dalam memberikan jaminan produk Samsung yang asli dan berkualiti.
Sepanjang pesta itu, DSTIncomm mempamerkan pelbagai model telefon pintar, tablet dan aksesori Samsung yang terbaharu.
Orang ramai juga berpeluang mendapatkan tawaran eksklusif bagi beberapa produk dan perkhidmatan.
Menurut kenyataan DST, pelanggan yang membeli produk Samsung melebihi $100 semasa pesta berkenaan sehingga awal Januari 2020 layak menyertai cabutan bertuah bulanan dan cabutan utama.
Pesta turut dimeriahkan dengan pertandingan video FIFA19 dan Beyblade Burst serta banyak lagi permainan-permainan menarik untuk kanak-kanak.
