Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Sebagai sebahagian daripada Program Kemasyarakatan Ihsan Kasih DST, seramai 13 orang anak yatim berusia tujuh hingga 10 tahun dari Daerah Temburong berpeluang untuk menyertai pelbagai kegiatan riadah dan lawatan sambil belajar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DST, di sini, hari ini, rombongan kanak-kanak bersama ibu bapa dan penjaga mereka tiba di Ibu Pejabat DST dengan dialu-alukan oleh Pengurus Besar Kewangan, Ang Siok Tuan dan pihak pengurusan serta kakitangan DST.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan sarapan pagi, di mana para pengunjung bukan sahaja disajikan makanan dan minuman tetapi mereka juga dapat menikmati pemandangan yang indah daripada kedudukan tinggi di tingkat atas Bangunan Ibu Pejabat DST.
Rombongan anak yatim berkenaan seterusnya berpeluang untuk mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara di mana mereka dialu-alukan oleh Pemangku Penolong Pembangunan Latihan, Leftenan Mohd Shahrul Idham bin Haji Bungsu dan pegawai-pegawai TLDB di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC).
Semasa lawatan itu, mereka mendengarkan taklimat mengenai sejarah perkembangan dan evolusi TLDB. Seterusnya, mereka dibawa melawat sebuah kapal TLDB di mana mereka dialu-alukan oleh Komander Rosman bin Puteh yang menyatakan penghargaannya kepada rombongan berkenaan serta DST atas lawatan sambil belajar mereka di atas kapal berkenaan untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.


Selepas lawatan sambil belajar ke TLDB, rombongan berkenaan berpeluang untuk menyaksikan tayangan filem di Empire Times Cineplex.
Dalam kenyataan itu lagi, Pengurus Kumpulan Perhubungan Korporat, Elixsurian bin Haji Busu dipetik menyatakan bahawa DST terus mengambil peranan proaktif dalam kegiatan pendidikan anak-anak yatim di bawah Program Ihsan Kasih termasuk semasa musim cuti sekolah penggal pertama bagi anak yatim Daerah Temburong.
Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa DST tidak ketinggalan untuk memberikan peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman yang menarik bersama kanak-kanak lain serta untuk berkenalan di antara satu sama yang lain.
Ihsan Kasih merupakan program kemasyarakatan DST yang bermatlamat untuk mengumpulkan warga DST untuk sama-sama melakukan kegiatan kesukarelawanan bagi membantu masyarakat Brunei, anak yatim dan mereka yang berkeperluan khas.