BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Datastream Digital Sdn Bhd (DST) ingin memohon maaf kepada para pelanggan perkhidmatan pasca bayar di atas gangguan perkhidmatan yang berlaku kelmarin sekitar pukul 4 petang.
Menurut kenyataan DST, di sini, hari ini, para pelanggan perkhidmatan pasca bayar mengalami gangguan untuk membuat dan menerima panggilan, perkhidmatan data, perkhidmatan USSD dan sebahagian daripada perkhidmatan aplikasi MyDST. Hasil daripada siasatan mendapati bahawa puncanya adalah disebabkan gangguan daripada sistem
billing DST.
DST telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan untuk memulihkan perkhidmatan dengan secepatnya, di mana ia telah berjaya membaik pulihkan perkhidmatan pada pukul 5 petang.
DST juga telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan selanjutnya hari ini mulai pukul 1 pagi hingga 4 pagi.
Kerja-kerja penyelenggaraan ini telah berjaya dijalankan tanpa sebarang gangguan perkhidmatan.
Tambah kenyataan itu DST sedang memodenkan platform digital pelanggan yang juga mengandungi sistem billing yang baharu untuk menggantikan sistem billing yang terdahulu.
Kerja-kerja pemodenan ini dijangka akan selesai pada bulan Ogos 2021.