Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan KHEU
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Dalam membantu mencetus idea-idea atau cadangan-cadangan kreatif dan inovatif, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Teknologi Maklumat dengan kerjasama DST Sdn Bhd telah mengadakan Bengkel Innovation for Government untuk pegawai-pegawai KHEU.
Bengkel dua hari yang berlangsung di DST InnoLab, Tingkat 2, Bangunan Ibu Pejabat DST, Jalan Tungku Link itu berakhir hari ini dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta bengkel yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Radin Sufri Radin Basiuni.
Ia merupakan kesinambungan daripada bengkel yang pernah dilaksanakan pada awal 2021 bagi pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian-kementerian berkenaan.
Hasil daripada sesi tersebut, KHEU dengan kerjasama DST Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan salah satu penyelesaian pembayaran Zakat Fitrah dalam talian e-zakat melalui portal DST pada tahun yang sama.
Dengan bantuan fasilitator, para peserta bengkel meneroka penyelesaian-penyelesaian bukan konvensional bagi mengatasi isu-isu dan cabaran yang kompleks serta menghasilkan idea-idea yang berpotensi.
Ia sekali gus untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan KHEU kepada orang ramai, terutama yang melibatkan pembayaran secara dalam talian melalui menggunakan kredit telefon, kad debit atau kredit dan e-wallet seperti yang dapat diakses menerusi portal dan aplikasi DST.





