Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    DST lancar ciri-ciri baharu MyDST

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Datastream Digital (DST), hari ini, telah melancarkan ciri-ciri baharu aplikasi MyDST yang akan meningkatkan pengalaman digital para pelanggan DST.

    Pelancaran ciri-ciri baharu itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa pembukaan Minggu Teknologi Digital, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Menurut DST, ciri-ciri baharu yang dilancarkan pada MyDST adalah pengaktifan IDD dan Roaming dengan hanya mengetik satu punat, pengguna tidak perlu lagi menghubungi DST bagi mengaktifkan perkhidmatan berkenaan setiap kali mereka membuat perjalanan ke luar negara.

    Pengguna kini juga boleh meningkatkan pelan Mobi, Freedom dan Infinity tanpa perlu berbaris di cawangan-cawangan DST, selain mendapatkan kad SIM baharu dan dihantar ke rumah pengguna, melanggan MultiSIM untuk mempunyai nombor sama bagi berbilang peranti, dan pelanggan kini juga boleh menyimpan kad kredit atau debit mereka untuk mempercepatkan pembayaran bil.

    Ciri-ciri berkenaan diperkenalkan dengan memikirkan kemudahan pengguna dan pengalaman digital.

    Orang ramai boleh mengunjungi pavilion DST di MYCE sepanjang acara berkenaan sehingga 2 Julai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri baharu MyDST.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa mendengar penerangan di petak DST pada pelancaran ciri-ciri baharu aplikasi MyDST pada Minggu Teknologi Digital di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda