Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – DST tidak ketinggalan menyertai Ekspo Teknologi Brunei (TechXpo) 2019 sebagai penaja utama acara yang berlangsung di Jerudong dengan Kristalfm selaku penyiar radio rasmi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DST, semasa ekspo itu, mereka menawarkan beberapa produk terbaharu seperti pelan telefon terkini serta pelan jalur lebar mudah alih tanpa had.
Pilihan pelan telefon termasuk iPhone XS, XS Max dan XR, siri Samsung S10 serta keluaran terbaharu, siri Note10. Pelanggan juga berpeluang mendapatkan tawaran menarik bagi pelan telefon.
Selain daripada produk berkenaan, DST juga menawarkan peluang perniagaan kepada individu dan perusahaan untuk menjadi rakan kongsi.
Perkhidmatan e-Vendor yang menawarkan individu dan syarikat untuk menjadi penjual, mendapatkan pendapatan sampingan dan diskaun melalui komisen untuk menjual produk dan perkhidmatan DSTIncomm melalui aplikasi mudah alih DSTIncomm.

Melalui anak syarikat DST, DataStream Solutions Sdn Bhd (DSS), perisian Sistem Maklumat Sumber Manusia (HRIS) berasaskan PeoplesHR cloud juga dipamerkan.
Ia merupakan pakej yang terdiri daripada maklumat pekerja, manfaat, cuti, kehadiran dan juga gaji.
Syarikat-syarikat hanya perlu membayar sekali yuran permulaan dan jumlah pekerja yang menggunakan penyelesaian HR berkenaan.
VAS juga akan mempamerkan perkhidmatan push SMS yang akan berfungsi sebagai perkhidmatan penyiaran yang cepat dan langsung untuk perniagaan yang ingin menjangkau para pelanggannya apabila mereka ingin mengetahui produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Mereka yang mendaftar dengan DST akan menjadi penyedia kandungan berdaftar yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan SMS Premium kepada pelanggan DST.
Kandungan dan perkhidmatan yang ada termasuk muat turun permainan, video, nada dering dan banyak lagi.
Sementara itu, petak Kristalfm di TechXpo akan mempunyai pakej wawancara eksklusif yang tersedia pada harga istimewa sepanjang acara tersebut.
Pelawat boleh datang berjumpa DJ kegemaran dan menyaksikan mereka menyiarkan maklumat secara langsung pada hujung minggu ini.
Sebagai penaja utama, DST juga menyokong Kejohanan Permainan Siber 2019 dengan menaja lebih $25,000 dan turut memberi sumbangan untuk hadiah kejohanan bernilai $17,000 termasuk hadiah kejohanan untuk CS: GO, League of Legends dan Legends Mobile.
Kenyataan menyatakan, sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha DST untuk menyokong komuniti permainan video dan pertumbuhan e-Sukan di sini.