Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Bagi meraikan para guru yang telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan pendidikan pelajar di Negara Brunei Darussalam, DST telah mengadakan Sambutan Hari Guru sebagai satu penghargaan kepada semua guru di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains).
Sambutan yang diadakan di maktab berkenaan adalah atas dasar undian orang ramai dalam Kempen Hari Guru yang dianjurkan oleh DST menerusi Instagram DST, baru-baru ini.
Kempen yang berlangsung selama tiga hari hingga 24 September itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai untuk mengadakan sambutan Hari Guru di seluruh negara dengan Maktab Sains menjadi sekolah pertama di mana sambutan berkenaan diadakan.
Hadir mengalu-alukan kehadiran para guru di Dewan Auditorium Maktab Sains ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni serta kakitangan DST.
Turut hadir ialah Pengetua Maktab Sains, Dayang Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad yang turut mengucapkan terima kasih kepada DST kerana menganjurkan acara yang sangat meriah sempena Hari Guru 2019.
Sepanjang acara itu, para guru dihiburkan dengan beberapa aktiviti termasuk aktiviti pembangunan pasukan yang diketuai oleh DST dan McDonald Brunei.
Aktiviti berkenaan memberi peluang para guru memenangi hadiah menarik daripada DST termasuk dalam cabutan bertuah utama yang menawarkan telefon pintar Samsung.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada minggu akan datang, DST juga akan mengunjungi sebanyak 14 buah sekolah terpilih dalam kempen pemilihan Hari Guru DST oleh orang ramai.
Antara sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan; Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri; Sekolah St Andrews; Pusat Tingkatan Enam Sengkurong; Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong; Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong; Sekolah St Angela, Bandar Seri Begawan; Sekolah Seri Mulia Sarjana, Jangsak; Sekolah Stella; Sekolah Al Falaah, Sungai Akar dan Sekolah Rendah Dato Ratna Haji Mohd Jaafar Kiarong.
