Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Dengan mengetengahkan konsep rumah pintar yang memberikan pemilik rumah sekuriti, keselesaan, kemudahan dan penggunaan tenaga secara efisien yang dikawal menggunakan peranti pintar, Pameran Rumah Pintar diadakan semasa Forum Masa Depan Pintar di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
DST tidak ketinggalan untuk menyertai pameran semasa forum dua hari itu, sebagai sebahagian daripada penglibatan syarikat telekomunikasi berkenaan dalam forum yang dianjurkan oleh AITI.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DST, di sini, hari ini, pameran DST mengetengahkan teknologi-teknologi rumah pintar yang dikuasakan oleh perkhidmatan Internet jalur lebar, GO!broadband.
Dalam pameran itu, DST mempamerkan peranti-peranti pintar berjenama Samsung dan Phillips bagi pencahayaan, sensor pelbagai guna dan kamera sekuriti yang boleh didapati di pasaran atau daripada Samsung Experience Store DSTIncomm.
