Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 18 Julai – Syarikat DST tidak ketinggalan memeriahkan minggu terakhir bulan Syawal ini dengan mengadakan Majlis Pejabat Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Hotel V Plaza di sini, hari ini.
Lebih 200 orang termasuklah kalangan pelanggan, pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan sebagainya menghadiri majlis berkenaan.
Kehadiran pengunjung pada majlis tersebut telah dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussain.
Penolong pengurus am perkhidmatan pelanggan memberitahu, majlis tersebut merupakan acara tahunan syarikat berkenaan, di samping diadakan di Daerah Brunei dan Muara, ia turut diadakan di Daerah Belait sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah memberikan kerjasama dalam perniagaan atau menjadi pelanggan setia kepada perkhidmatan DST selama ini.


Di samping untuk mengeratkan ikatan silaturahim, majlis itu juga bertujuan untuk membukakan peluang kepada para pegawai dan kakitangan DST untuk beramah mesra dengan para pengunjung terutama sekali dalam kalangan para pelanggan mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman dan beberapa orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Daerah Belait serta pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan lainnya, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya.
Kemeriahan pada majlis itu ditambah lagi dengan hidangan sajian istimewa, termasuk kuih-muih dan lauk-pauk untuk dinikmati bersama setiap pengunjung yang menghadiri majlis tersebut.