Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Apr – DST telah membawa keceriaan semasa Program Bandarku Ceria di ibu negara, hari ini, dengan mengelolakan ‘DSTku @ Bandarku Ceria’ sempena Ulang Tahun DST ke-22 tahun.
Pada acara yang dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid itu, pelbagai aktiviti dijalankan seawal jam 6 pagi. Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif DST, warga pengurusan kanan, kakitangan dan para peserta.
‘DSTku’ adalah acara tambahan sambutan mingguan DST yang bermula dari Hari Penghargaan Pelanggan di kesemua cawangan DST dan DSTIncomm di seluruh daerah. Ramai yang menyertai aktiviti dan menyertai cabutan bertuah semasa acara berkenaan.
Acara berkenaan turut menyaksikan cabutan bertuah bagi pelanggan-pelanggan yang menyertai Hari Penghargaan Pelanggan dan membuat transaksi seperti membayar bil atau mendaftar dalam apa jua produk dan perkhidmatan DST di kesemua cawangannya semalam.
Sebanyak 22 hadiah menarik telah disediakan dalam cabutan berkenaan di mana Awangku Muhd Rita’ee bin Pengiran Haji Emran membawa pulang Apple Macbook Air selaku pemenang utama dan Awang Auzzali bin Haji Ibrahim memenangi iPhone 7 Plus 128GB sebagai pemenang kedua.



Di tempat ketiga, Ampuan Noorirawaty binti Ampuan Haji Razid memenangi Apple iPhone 128GB diikuti dengan Awang Jeffery bin Haji Daud di tempat keempat yang membawa pulang Samsung Galaxy A7 dan Dayang Ani Sakinah binti Mohd Saip di tempat kelima dengan Jam Tangan Samsung Galaxy Gear 3. Manakala itu, 17 pemenang bertuah lainnya membawa balik hadiah sagu hati.
Acara kemuncak dalam DSTku ialah Basikalton, yang disertai seramai 1,000 orang penunggang basikal dengan jarak pilihan sejauh 11km atau 22km. selain itu, para penunggang juga berpeluang memenangi hadiah pertandingan menghias basikal.
DSTHunt turut menjadi tarikan yang mana 50 pasukan terdiri daripada lima orang ahli setiap pasukan menamatkan cabaran teka-teki untuk memenangi hadiah menarik.
Dalam acara berkenaan, Pasukan MVP Elite Fitness yang diketuai oleh Awang Mohd Yazid bin Mohd Taib muncul juara sekali gus membawa pulang hamper bernilai $700, manakala itu, Pasukan Nikitis yang diketuai oleh Harissman Ashady bin Haji Ali berada di tempat kedua dengan hamper bernilai $600 dan Pasukan DB yang diketuai oleh Awang Mohd Shahrol Ezwan pula memenangi hamper bernilai $400 selaku pemenang ketiga.
Pasukan GSMSB yang diketuai oleh Norikswan Rusli juga membawa pulang hadiah setelah menjadi pemenang pakaian terbaik dan Pasukan Fortitude sebagai pemenang pasukan bersemangat.