Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    D’Sunlit galas tugas jayakan BETCON

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Untuk merealisasikan hubungan yang berdaya tahan antara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina, Konvensyen Perdagangan BIMP-EAGA (BETCON) bagi 2023 akan diadakan pada 25 hingga 29 Oktober depan di BRIDEX, Jerudong.

    Sehubungan itu, Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Brunei (BEBC) telah melantik D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengurus acara dan kontrak rasmi konvensyen berkenaan dengan majlis penandatanganan perjanjian telah berlangsung di D’Sunlit Sdn Bhd, kelmarin.

    Pengerusi BEBC Brunei, Pengiran Dr Haji Haris bin Pengiran Duraman dalam ucapannya berkata, pada Sidang Kemuncak Pemimpin BIMP–EAGA yang lalu, para pemimpin mencadangkan agar sektor swasta memimpin pemulihan pasca pandemik dalam perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

    Mengikut mandat itu, Majlis Perniagaan BIMP-EAGA masing-masing bersetuju BEBC Brunei menjadi tuan rumah bagi mengadakan BETCON 2023.

    Ia juga sejajar dengan Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-26 yang berlangsung Oktober depan.

    Wakil-wakil dari BEBC Brunei dan D’Sunlit semasa sesi penandatanganan perjanjian baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Komitmen kukuh ahli-ahli majlis yang dilantik dan sokongan berterusan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai agensi penyelaras BIMP-EAGA serta pihak berkepentingan yang berkaitan adalah penting bagi menjayakan projek-projek yang dirancang, tambah Pengiran Dr Haji Haris.

    Majlis diteruskan dengan sesi penandatanganan yang mana BEBC Brunei diwakili oleh Pengiran Dr Haji Haris dan Haji Alimen bin Haji Jaafar, manakala D’Sunlit diwakili oleh Pengarah Urusannya, Jackson Ting dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Gavin Chai.

    Majlis penandatanganan juga disaksikan oleh Hajah Norhayati binti Haji Ismail dari Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; wakil dari Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brunei Darussalam, Irwan Iding; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dato Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Filipina ke Brunei Darussalam, PYT Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio.

    Wakil dari D’Sunlit, Kah Seng berkata, penandatanganan perjanjian itu merupakan komitmen D’Sunlit dalam sama-sama menjayakan BETCON dengan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan penyediaan petak sepanjang konvensyen itu berlangsung.

    BETCON23 ialah acara perdana bersempena Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-26 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan lain yang akan berlangsung pada Oktober.

    Dianjurkan oleh BEBC dan disahkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan sokongan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) dan Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB), BETCON dijangka akan menarik kira-kira 300 peserta dan 1,000 delegasi dari wilayah BIMP-EAGA, rakan pembangunan BIMP-EAGA khususnya Korea, Jepun, China dan Wilayah Utara Australia serta vendor antarabangsa.

    BETCON akan menyediakan tempat untuk perusahaan dari rantau BIMP-EAGA dan seterusnya membentangkan produk, perkhidmatan dan prospek pelaburan mereka.

    Matlamat utamanya adalah menggalakkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan yang melengkapkan hasil daripada lima tonggak strategik Wawasan BIMP-EAGA 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda