Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – D’Sunlit Sdn Bhd dan Imasa Dinasti Sdn Bhd baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik dalam pengaktifan Kenyalang Convention and Exhibition Centre (KCEC) yang menjadi kemudahan utama dalam pelan pembangunan Kenyalang Smart City (KSC) di Miri, Sarawak.
Majlis penandatanganan MoU tersebut berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Miri dan disempurnakan oleh Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar. Teo Ah Khing, serta Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting Jack Hing.
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Pengarah Institut Perubatan Integratif Universiti Fudan, Profesor Dong Jingcheng; dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii, bersama tetamu khas dan wakil media.
Melalui kerjasama itu, D’Sunlit, salah sebuah penyedia perkhidmatan bersepadu terkemuka di Brunei Darussalam, akan membawa kepakaran mereka dalam pengurusan acara dan penganjuran pameran berskala besar ke KCEC.
Inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang menekankan kepelbagaian ekonomi serta penglibatan aktif sektor swasta.
MoU itu juga akan meneroka peluang untuk menganjurkan konvensyen antarabangsa, program industri khusus serta acara berkaitan perubatan, selaras dengan matlamat pembangunan menyeluruh KSC.
Ini termasuk usaha pemasaran silang serta pendekatan berfokus akan digerakkan bersama bagi memperkukuh kedudukan KCEC dalam landskap acara serantau BIMP-EAGA dan ASEAN.