Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DTV peluang negara mundur kenali dunia

    LIQUICA, 25 FEB – Timor Leste, antara negara paling mundur di dunia, buat julung kalinya memancarkan isyarat televisyen digital (DTV) menerusi bantuan dan sokongan teknikal yang kebanyakannya oleh pekerja dari China.

    Mutakhir ini, Guico, sebuah kampung di sini, telah melancarkan sistem transmisi program Penyiaran Multimedia Terrestrial Televisyen Digital (DTMB) yang ditaja kerajaan China.

    Duta China ke Timor Leste, Xiao Jianguo ketika menyampaikan ucaptamanya pada majlis pelancaran program itu menyifatkan usaha itu memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengenali dunia luar. Sementara itu, Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak turut menzahirkan penghargaannya atas bantuan kerajaan China dan kakitangan teknikal yang bertungkus- lumus merealisasikan usaha tersebut.

    Kini, difahamkan lebih 200 ribu penduduk terutamanya di kawasan pergunungan boleh menikmati pilihan program DTV yang menarik di rumah masing-masing.

    Ketua Kumpulan Pengurusan DTMB, Yang Tao berkongsi pengalamannya yang pernah memandu ke setiap ceruk jalan termasuk di kawasan pergunungan untuk melakukan tinjauan bagi memastikan kawasan itu dapat liputan siaran televisyen secara menyeluruh.

    Terdapat 13 buah menara isyarat televisyen di seluruh Timor Leste, namun pancaran isyarat tidak menyeluruh ketika menggunakan isyarat analog, dan stesen pemancar cuma terdapat di bandar besar, namun kapasitinya pula tidak begitu kuat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda