SINGAPURA, 19 JULAI – Dua ahli kanan parti pembangkang utama Singapura telah meletak jawatan atas hubungan sulit, dalam skandal politik ketiga yang menggegarkan negara kota yang biasanya tenang itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pengumuman peletakan jawatan ahli Parti Pekerja (WP) itu dibuat dua hari selepas speaker parlimen dan seorang ahli parlimen wanita dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah turut meletak jawatan kerana mempunyai hubungan “tidak wajar”.
Ahli parlimen WP, Leon Perera, 53, dan ketua sayap pemuda parti berkenaan, Nicole Seah, 36, meletak jawatan selepas video yang menunjukkan mereka berpegangan tangan disiarkan di media sosial, kata ketua parti, Pritam Singh.
“Kedua-duanya mengaku mereka mempunyai hubungan sulit,” kata Singh pada sidang akhbar.
“Perlembagaan WP menghendaki calon bersikap jujur dan berterus terang dalam urusan mereka dengan parti dan rakyat Singapura,” katanya.
Kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai anak.
WP adalah parti pembangkang terbesar di parlimen selepas membuat penembusan besar dalam pilihan raya 2020. – AFP