Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Dua aktivis baling sup ke lukisan Mona Lisa

    PARIS, 28 JAN – Dua penunjuk perasaan hari ini membaling sup ke arah kaca kalis peluru yang melindungi karya Leonardo da Vinci, Mona Lisa di Paris, menuntut hak untuk ‘makanan yang sihat dan mampan’, demikian menurut seorang wartawan AFP yang melihat kejadian tersebut.

    Tindakan itu, yang berlaku ketika petani Perancis mengadakan bantahan di seluruh negara, merupakan serangan terkini dalam siri serangan serupa terhadap karya seni untuk menuntut lebih banyak tindakan bagi melindungi planet ini.

    Dua wanita pada pagi hari ini membaling sup merah dan oren ke atas kaca yang melindungi wanita yang tersenyum itu untuk mengejutkan orang ramai di muzium Louvre di ibu negara Perancis.

    “Apakah yang lebih penting? Seni atau hak untuk mendapatkan makanan yang sihat dan mampan,” tanya mereka sambil berdiri di hadapan lukisan itu dan bercakap secara bergilir-gilir.

    “Sistem pertanian awda berada dalam masalah. Petani kita mati di tempat kerja,” tambah mereka, sebelum kakitangan keselamatan meletakkan skrin hitam di hadapan mereka dan mengosongkan bilik itu.

    Kumpulan bernama Riposte Alimentaire itu mengaku bertanggungjawab atas perbuatan tersebut.

    Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP, mereka berkata balingan sup itu menandakan ‘permulaan kempen bantahan awam dengan tuntutan yang jelas… untuk keselamatan sosial makanan mampan’.

    Tindakan itu berlaku ketika petani Perancis telah membantah selama beberapa hari untuk menuntut gaji, cukai dan peraturan yang lebih baik. – AFP

    Tangkap layar daripada rakaman AFPTV ini menunjukkan dua aktivis alam sekitar membaling sup ke arah lukisan Mona Lisa, di muzium Louvre di Paris, hari ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...