Pelakon Amyra Rosli memaklumkan dua anaknya iaitu Anaqi dan Aryssa disahkan positif jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) baru-baru ini.
Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 32, bagaimanapun bersyukur kerana anak-anaknya sudah pulih daripada penyakit berkenaan.
“Anak-anak saya positif HFMD tetapi sudah sihat. Alhamdulillah, terima kasih semua atas doa yang baik-baik buat Anaqi dan Aryssa,” katanya.
Amyra berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Amyra turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sekiranya anak-anak mereka menunjukkan sebarang simptom penyakit berkenaan termasuk demam.
Kata pelakon berkenaan, ibu bapa juga tidak perlu panik kerana penyakit ini tidak berbahaya namun boleh berjangkit.
“Kepada ibu bapa di luar sana, sekiranya anak-anak awda tiba-tiba demam jangan ambil remeh ya.
“Penyakit ini mudah sangat disebarkan di sekolah dan biasa dijangkiti oleh kanak-kanak
berusia antara lima tahun,” ujarnya. – Agensi


