Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dua pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang merupakan sebahagian daripada misi IDB VMAT 2/2020, telah selamat kembali ke Negara Brunei Darussalam pada 10 Mac 2021 setelah penempatan selama 13 bulan di bawah bendera IDB bersama dengan negara-negara anggota IDB termasuk Turki dan Norway serta wakil daripada kerajaan Republik Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Hanafi Azami bin Nayan dan Kapten (U) Mohammad Aliff bin Haji Zulkifli disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersama, Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir, dalam upacara menyambut kepulangan kontinjen yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bolkiah Garison, hari ini.
Turut hadir pada upacara tersebut ialah timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, ketua staf ABDB, pengarah-pengarah, timbalan pemerintah angkatan tentera dan komandan-komandan, pegawai kanan dan pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB serta wakil dari Kedutaan Besar Republik Filipina di Negara Brunei Darussalam.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan pembukaan lencana IDB VMAT dan sesi bergambar ramai.
Sebagai anggota IDB VMAT di Mindanao, walau penglibatan agak kecil, akan tetapi ia merupakan manifestasi dan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam menyumbang kepada proses perdamaian di Mindanao.