Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua anggota bomba ditembak mati di Idaho

    LOS ANGELES, 30 JUN – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menemui mayat seorang lelaki bersenjata yang disyaki memulakan kebakaran hutan kelmarin sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota bomba yang sedang memadam kebakaran di negeri Idaho, barat laut negara itu, mengorbankan dua orang.

    Suspek ditemui mati bersama senjata api di Gunung Canfield, Daerah Kootenai kawasan taman dan pendakian popular selepas kebuntuan selama beberapa jam ketika api terus marak.

    “Berdasarkan maklumat awal, kami percaya dia satu-satunya penembak,” kata Sheriff Daerah Kootenai, Robert Norris dalam sidang media pada petang kelmarin, sambil menambah “tiada lagi ancaman kepada komuniti ketika ini.”

    Norris berkata pihak berkuasa percaya kebakaran tersebut dilakukan secara sengaja, namun tidak mendedahkan identiti suspek.

    “Kami percaya suspek memulakan kebakaran dan ia merupakan satu serangan hendap yang dirancang,” katanya kepada wartawan.

    “Anggota bomba ini langsung tidak berpeluang menyelamatkan diri.”

    Kira-kira 300 anggota penguat kuasa dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Dua anggota bomba terbunuh akibat ditembak, manakala seorang lagi cedera dan telah dihantar ke hospital untuk menjalani pembedahan.

    “Dia sedang bertarung nyawa, tetapi keadaannya stabil,” kata Norris.

    Serangan itu dipercayai menggunakan senapang berkuasa tinggi, menurut sheriff dalam sidang media terdahulu.

    Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap putih tebal dari kawasan berbukit yang dilitupi hutan. Pihak berkuasa memberi amaran semalam bahawa kebakaran hutan itu masih belum terkawal. – AFP

    Pihak penguat kuasa undang-undang dan pasukan kecemasan berada di Taman Cherry Hill berhampiran Jalan 15 pada petang 29 Jun, susulan laporan mengenai serangan hendap bersenjata di Gunung Canfield, Coeur d’Alene, Idaho. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda