KOTA KINABALU, 23 JAN – Dua anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika operasi memadam kebakaran di tingkat empat sebuah bangunan di Petagas tengah malam tadi.
Seorang daripada anggota berkenaan, Amran Amir, 34, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut dan keadaanya dilaporkan stabil.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan seorang lagi mangsa, Pegawai Bomba Kanan II Sharif Faizul, 38, pula menerima rawatan di lokasi kejadian.
“Bomba menerima laporan kejadian itu pukul 11:59 malam dan operasi ditamatkan 1:40 pagi tadi.
“Sebanyak 38 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang terlibat dalam operasi pemadaman yang turut disertai Sabah Electricity dan polis,” menurut kenyataan itu hari ini. – Bernama