Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua atlet AS rangsang pembangunan sukan negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam mengadakan satu sidang media di sebuah hotel di Anggerek Desa, mengenai program 2024 US Sport Envoy Badminton, hari ini.

    Program anjuran Kedutaan AS di Brunei Darussalam, dengan kerjasama Sekolah Chung Hwa Kiudang itu akan menampilkan atlet para AS, Amy Burnett dan atlet Olimpik, Howard Bach di Sekolah Chung Hwa Kiudang, bermula 13 Ogos.

    Hadir semasa sidang media tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Hannah Doyle, Pengerusi Sekolah Hung Hwa Kiudang, Kelvin Pong, diikuti dengan kedua-dua atlet berkenaan.

    Juga hadir di majlis itu ialah atlet-atlet negara Brunei, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.

    Menurut kenyataan daripada Kedutaan AS, Amy Burnett, atlet kerusi roda pertama AS yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam para badminton dan peserta Olimpik, Howard Bach akan mengadakan klinik latihan badminton untuk atlet, jurulatih, dan komuniti pemimpin, dengan tumpuan kepada kemajuan inklusiviti dalam sukan.

    Sesi bergambar ramai atlet-atlet AS, Hannah Doyle, Kelvin Pong, berserta atlet-atlet negara, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Howard Bach semasa sidang media mengenai program 2024 US Sport Envoy Badminton. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Program tersebut, yang kebanyakannya diadakan di gelanggang badminton Sekolah Chung Hwa Kiudang, disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Paralimpik Brunei Darussalam, dan Majlis Kebajikan Orang Kurang Upaya (MKOKU).

    Kunjungan duta sukan itu bertujuan untuk merangsang pembangunan sukan, memberdayakan belia, dan mempromosikan hak orang kurang upaya.

    Program berkenaan adalah sangat relevan kerana dunia sedang menonton Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, dan AS dijadualkan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik seterusnya di Los Angeles, California, pada tahun 2028.

    Menurut Howard Bach ketika ditemui Media Permata, mereka amat teruja dapat menyertai program berkenaan dan berusaha untuk memberikan program terbaik dan berharap program yang dianjurkan akan dapat memberi pengalaman baharu kepada atlet di Brunei.

    Di kesempatan itu, Howard Bach berharap akan dapat memberikan motivasi kepada semua dan beliau menasihatkan untuk percaya diri sendiri untuk berada di tempat terbaik.

    Amy Burnet juga sedikit sebanyak mengongsikan pengalaman beliau ketika mula berminat dalam sukan badminton dan mengongsikan latihan-latihan yang dilaluinya.

    Beliau berharap pengalaman dan kepakarannya akan dapat dikongsikan kepada yang berminat khususnya atlet para brunei.

    Menurut Kelvin Pong, beberapa aktiviti dan bengkel badminton akan diadakan di Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong di sepanjang proram berkenaan dan bagi mereka yang berminat bolehlah mengunjungi sekolah berkenaan.

    Aktiviti berkenaan termasuk ceramah motivasi pada 13 Ogos, bengkel badminton untuk sekolah menengah pada 14 Ogos dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda