Oleh Sim Y. H. –
TEMBURONG, 21 MAC – Bersempena bulan suci Ramadan, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) terus membuktikan komitmennya kepada masyarakat dengan menyampaikan sumbangan kepada Balai Ibadat Kampung Sibut dan Balai Ibadat Kampung Semabat, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SHENA, di sini, hari ini, inisiatif itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad bersama pegawai dan kakitangan SHENA.
Acara berkenaan telah dianjurkan bersama oleh Bahagian Perancangan Strategik dan ahli pasukan SAFE SHENA yang mencerminkan usaha bersepadu dalam menyokong dan memperkasakan komuniti.
Inisiatif yang mencerminkan komitmen SHENA yang teguh terhadap tanggungjawab sosial berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada keselamatan dan kesihatan tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat Negara Brunei Darussalam selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Dalam usaha memupuk budaya pemedulian dan perpaduan, SHENA memastikan setiap sumbangan memberikan impak yang bermakna kepada komuniti yang menerima.
Seiring dengan visi jangka panjangnya, SHENA akan terus merintis inisiatif bermanfaat dengan bekerjasama bersama anggota masyarakat dan organisasi berkaitan untuk menyampaikan manfaat yang berkekalan.


