LA PAZ, 2 MAC – Dua bas penumpang bertembung kelmarin pagi di sebuah lebuh raya di selatan Bolivia, mengakibatkan sekurang-kurangnya 37 orang maut, termasuk lapan kanak-kanak, menjadikannya kemalangan bas paling buruk di negara itu tahun ini, menurut polis.
“Setakat ini, kami telah mengesahkan 37 kematian,” kata Kolonel Wilson Flores kepada AFP mengenai nahas yang berlaku berhampiran bandar Uyuni di wilayah Potosi. Seramai 41 orang lagi cedera dan telah dihantar ke hospital, menurut pihak polis.
Enam warga asing termasuk dalam kalangan mangsa yang terkorban, lima warga Peru dan seorang anak damit perempuan berusia tiga tahun dari Jerman. Tujuh lagi kanak-kanak turut terkorban.
Kemalangan itu berlaku pada awal pagi kelmarin di sebatang jalan dua lorong yang sempit.
Salah satu bas sedang dalam perjalanan ke bandar Oruro, lokasi sambutan Karnival Oruro pada hujung minggu ini, iaitu salah satu festival terbesar di Amerika Latin yang menarik puluhan ribu pengunjung.

Pendakwa Raya Potosi, Gonzalo Aparicio, memberitahu agensi berita kerajaan ABI, bahawa pemandu salah satu bas terbabit dalam keadaan mabuk dan memandu dengan laju sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar kenderaan yang datang dari arah hadapan.
“Setakat ini, diketahui bahawa seorang pemandu salah satu bas berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Terdahulu, seorang pegawai berkata salah seorang pemandu yang terselamat dalam keadaan parah didapati mempunyai ‘bau alkohol’ dan ujian darah telah dijalankan.
Sebelum perlanggaran pagi kelmarin, seramai 64 orang telah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Potosi sahaja tahun ini, menurut laporan polis.
Kemalangan itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas sekurang-kurangnya 30 orang maut apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 800 meter di selatan Bolivia. – AFP