Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua bekas menteri Iran dipenjara

    TEHERAN, 4 MAC – Sebuah mahkamah Iran telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua bekas menteri dalam kes rasuah bernilai berbilion dolar yang melibatkan teh import, kata badan kehakiman hari ini.

    Kes yang dikenali di Iran sebagai Skandal Teh Debsh itu dibuka pada 2023 dan melibatkan lebih daripada 60 orang, dengan jumlah keseluruhan berjumlah AS$3.7 bilion, lapor akhbar Iran pada Mei, memetik ketua hakim negara itu.

    Seramai 42 defendan dijatuhi hukuman dalam kes tersebut, termasuk bekas Menteri Pertanian, Javad Sadatinejad dan bekas Menteri Perindustrian, Reza Fatemi Amin, kata Mizan Online, saluran berita kehakiman.

    Sadatinejad dijatuhi hukuman penjara satu tahun, manakala Fatemi Amin dikenakan hukuman penjara dua tahun atas peranan mereka dalam skandal itu, lapor Mizan.

    Kedua-dua mereka, yang berkhidmat di bawah bekas Presiden Ebrahim Raisi, disabitkan kerana bersubahat mengganggu sistem ekonomi negara, dengan hukuman yang dianggap ‘muktamad dan mengikat’.

    Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara selama 66 tahun terhadap Akbar Rahimi-Darabad, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Debsh Tea, atas pelbagai kesalahan, termasuk mengganggu ekonomi Iran, menyeludup mata wang asing dan rasuah.

    Rahimi-Darabad diperintahkan untuk membayar kembali lebih daripada AS$2.38 bilion dalam dana yang diseludup dan denda sebanyak AS$1.5 bilion. – AFP

    Reza Fatemi Amin (kiri) semasa menghadiri acara kebangsaan di Pavillion Iran pada Expo 2020, di Emiriah Teluk Dubai pada 7 Februari 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda