LIMA, 4 SEPT – Dua bekas presiden di Peru berdepan keputusan berbeza dalam kes rasuah yang mereka hadapi.
Mahkamah rayuan Peru kelmarin telah mengarahkan pembebasan bekas presiden Martin Vizcarra, yang ditahan sebelum perbicaraan atas dakwaan rasuah dan dianggap berisiko melarikan diri bulan lalu.
Vizcarra, yang memimpin Peru dari 2018 hingga 2020, dituduh menerima rasuah sebanyak AS$640,000 sebagai pertukaran bagi kontrak kerja awam, 11 tahun lalu ketika beliau menjadi gabenor wilayah Moquegua di selatan Peru. Namun, beliau menegaskan dirinya tidak bersalah.
Vizcarra, 62 tahun, ditahan di sebuah penjara khas bekas presiden, tempat Alejandro Toledo, Ollanta Humala dan Pedro Castillo juga dipenjarakan.
Manakala, Toledo, yang sedang menjalani hukuman 20 tahun enam bulan itu telah dijatuhi hukuman tambahan 13 tahun penjara kelmarin, bagi kes pengubahan wang haram yang berkaitan dengan rasuah yang diterimanya daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht.
Hukuman baru ini tidak akan ditambahkan kepada hukuman terdahulu kerana mengikut undang-undang Peru, hukuman paling berat dianggap sebagai hukuman maksimum.
Toledo, 79 tahun, memerintah Peru dari 2001 hingga 2006, dan menghadiri perbicaraan secara maya.
“Saya amat kecewa dengan sistem (kehakiman),” katanya kepada mahkamah selepas mendengar keputusan itu, yang beliau berikrar untuk rayu.
Pendakwa raya menganggarkan Toledo menerima kira-kira AS$35 juta dalam bentuk rasuah daripada Odebrecht dan menggunakan wang tersebut untuk membeli hartanah. – AFP

