Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Dua orang peserta Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), hari ini, berlepas ke Malaysia untuk mengikuti latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur.
Dua orang peserta yang dipilih untuk menyertai latihan berkenaan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Urus Setia PROPAZ ialah Awang Muhd Nur Hazwan Syafiee bin Razimi, 21, yang akan mengikuti Kursus Teknologi Binaan Bangunan dan Awang Mohd Zulhilmi bin Ajak, 25, yang akan mengikuti Kursus Perkhidmatan dan Penyajian Makanan.
Hadir di Lapang Terbang Antarabangsa Brunei bagi menghantar pelajar-pelajar berkenaan ialah Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, pegawai-pegawai daripada Urus Setia PROPAZ, Jabatan Majlis Ugama Islam serta keluarga para peserta.
Penghantaran dua orang peserta berkenaan ialah hasil daripada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) ke-42 bagi Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) pada 25-28 Oktober 2017, di Yogyakarta, Indonesia yang membincangkan bidang kerjasama bagi meningkatkan taraf hidup umat Islam yang memerlukan.

Susulan daripada kesepakatan itu, kerajaan Malaysia melalui Institut Kemahiran Baitulmal, MAIWP telah menawarkan peluang kepada asnaf yang berkelayakan di Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti latihan kemahiran berkenaan.
Kedua-dua orang peserta dari Brunei berkenaan akan menjalani tempoh latihan sepenuh masa selama 12 bulan. Kesemua kos pembiayaan bagi program berkenaan, menggunakan peruntukan daripada agihan Kumpulan Wang Zakat, Asnaf Fakir Miskin.
MUIB melalui PROPAZ akan sentiasa meningkatkan usaha bagi mengembang luaskan kaedah latihan untuk golongan asnaf sebagai jalan untuk mengeluarkan diri mereka sendiri dan keluarga daripada kepompong kemiskinan dan kesusahan hidup.
Setakat ini usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh PROPAZ telah menghasilkan beberapa kejayaan sebagaimana yang diharapkan.