Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua beradik ahli ‘Geng Bulat’ terlibat rompakan bersenjata

    IPOH, 17 NOV – Dua beradik lelaki dipercayai ahli kumpulan samun dikenali ‘Geng Bulat’, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata pada bulan lepas.

    Ahmad Fazrin Naharoddin, 31, yang berbalut tangan kirinya dan Mohamad Hafiz, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

    Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap harta milik S Sarala, 36, iaitu wang tunai RM200 dan semasa melakukan rompakan, mereka bersenjatakan sebilah pisau di KK Hanans Cash and Carry di Desa Rishah Indah, pada 3:35 petang, 12 Oktober lepas.

    Pertuduhan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan jika bersenjata hendaklah dikenakan sebat selain hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen lain jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua lelaki itu turut didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas S Latchemee, 50, dengan mencuri telefon bimbit jenama Samsung Note 3 dan jenama Oppo, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, kad bank, wang tunai kira-kira RM200 dan sepasang subang emas dengan bersenjatakan sebilah parang.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai ESP Computer Network, Desa Rishah Menglembu pada 11:30 pagi 23 Oktober lepas dan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – Bernama

    Dua beradik lelaki yang dipercayai ahli kumpulan samun dikenali ‘Geng Bulat’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda