Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Dua beradik yang melakukan curi di kedai dobi telah didakwa di Mahkamah Majistret, kelmarin.
Muhammad Hadi Khairi Syazwan bin Mohd Khairul Ariffin, 24, dan Muhammad Hani Khairani bin Mohd Khairul Ariffin, 30, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kedai dobi, Daerah Belait pada awal pagi 24 Ogos 2018.
Muhammad Hadi turut berdepan tuduhan melakukan khianat pada mesin token kedai dobi tersebut.
Pemangku Ketua Majistret, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan 12 September 2018 untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.
Menurut fakta kes, Muhammad Hadi mencungkil tingkap kedai dobi menggunakan pemutar skru manakala abangnya bertindak selaku ‘pemerhati’.
Sebaik berada di dalam, Muhammad Hadi cuba mencungkil mesin token kedai dobi namun gagal. Dia kemudian mencuri alat penerima rakaman CCTV; CPU ‘HP’ dan alat penyedut hampagas.
Dia juga mencuri wang dari mesin kerusi urut layan diri yang terdapat di kedai dobi itu.
Selepas menghantar abangnya pulang ke rumah, Muhammad Hadi kemudian pergi ke tanah lapang berdekatan Tol Rasau untuk melupuskan alat penerima rakaman CCTV dan CPU ‘HP’. Kedua-dua tertuduh menjual penyedut hampagas itu pada harga $20.
Kedua-dua tertuduh berjaya diberkas sebaik laporan dan siasatan polis dibuat.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.