Dua beradik dipenjara rancang letup pesawat guna pengisar daging

SYDNEY, 17 DIS – Dua adik beradik lelaki dijatuhkan hukuman penjara di Australia hari ini, kerana merancang meletupkan penerbangan dari Sydney ke Abu Dhabi, menggunakan bom yang dipasang pada pengisar daging.

Kedua-dua mereka yang berketurunan Australia-Lubnan, Khaled dan Mahmoud Khayat disabitkan dengan kesalahan cuba mengebom jet penumpang milik Etihad Airways pada Julai 2017, atas arahan daripada kumpulan Islamic State (IS).

Khaled dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun dengan tempoh minimum tanpa parol selama 30 tahun, manakala Mahmoud menerima hukuman penjara 36 tahun dan diarahkan untuk dipenjara sekurang-kurangnya 27 tahun.

Bahan letupan yang sudah diubah suai itu diseludup masuk ke dalam beg milik adik lelaki mereka tanpa diketahui.

Adik lelaki yang keempat, yang dikatakan berjuang bersama IS di Syria, dituduh mengarahkan rancangan itu dari luar negara.

Ketiga-tiga perancang bom dikatakan berang dengan adiknya dan mendakwa pemuda berkenaan sering ke kelab malam, berjudi, minum arak serta terbabit dalam hubungan sejenis, sekali gus mencemarkan maruah keluarga mereka, kata hakim Christine Adamson.

Rancangan terbabit bagaimanapun dibatalkan apabila dia merasakan ia terlalu berisiko, apatah lagi selepas diberitahu seorang kakitangan, beg berkenaan terlalu berat.

Adamson ketika menjatuhkan hukuman berkata, meskipun tiada yang terkorban, pesalah berjaya mencetuskan ketakutan ramai sebaik kandungan beg itu diketahui.

“Konspirasi yang dilakukan mereka boleh mendatangkan banyak kematian jika ia benar-benar berlaku,” katanya. – AFP