SHIMLA, 24 JULAI – Dua adik-beradik di pedalaman India telah berkahwin dengan wanita yang sama, menjunjung adat tradisi hingga mencetuskan kecaman daripada kumpulan hak asasi wanita selepas gambar perkahwinan itu menjadi tular.
Adat yang melibatkan seorang wanita berkahwin lebih dari satu (poliandri) diharamkan di India tetapi sah di beberapa wilayah, termasuk wilayah Himalaya, membenarkan pemeliharaan beberapa adat tradisi lama.
Pengantin lelaki, Pradeep dan Kapil Negi, berkahwin dengan Sunita Chauhan dalam perkahwinan tiga hari yang disaksikan oleh ratusan penduduk kampung dan saudara mara pada 12 Julai di negeri Himalaya Himachal Pradesh.
Pada majlis itu, ketiga-tiga suku Hatti mengelilingi api yang dianggap suci ketika penduduk kampung menyanyikan lagu rakyat.
“Kami mengikuti tradisi secara terbuka kerana kami berbangga dengannya dan ia adalah keputusan bersama,” kata Pradeep, menurut agensi berita Press Trust of India.
Abangnya Kapil menambah, “Kami memastikan sokongan, kestabilan dan kasih sayang untuk isteri kami sebagai sebuah keluarga yang bersatu.”
Seorang daripada mereka adalah kakitangan kerajaan dan seorang lagi bekerja di luar negara.
Mengikut adat, isteri bertukar giliran mengikut jadual yang dipersetujui bersama dan keluarga membesarkan anak-anak bersama-sama. Abang sulung pula digelar bapa yang sah.
Persatuan Wanita Demokratik Seluruh India (AIDWA), sebuah kumpulan hak asasi wanita, mengecam perkahwinan itu.
“Tindakan eksploitasi wanita seperti itu… bertentangan dengan hak asasi seorang wanita,” kata Setiausaha Agung AIDWA, Mariam Dhawale, kepada media tempatan. – AFP
