Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua bot nelayan Vietnam ditahan

    KOTA TINGGI, 1 Julai – Taktik sekumpulan nelayan Vietnam yang cuba menggunakan pendaftaran bot tempatan ke atas dua bot mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar apabila ditahan di sini, dua hari lepas.

    Pemangku  Ketua Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata penahanan terhadap kedua bot itu dilakukan oleh pasukan ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 30 batu nautika timur Kuala Tanjung Sedili ketika sedang melaksanakan Ops Pagar Laut antara pukul 3:40 hingga 4:20 petang.

    Katanya, ketika ditahan, terdapat seramai 46 awak-awak dan dua tekong warga Vietnam berumur antara 17 hingga 51 tahun berada di kedua-dua bot dan didapati sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

    “Apabila pemeriksaan dijalankan, kesemua awak-awak dan tekong mempunyai passport dan kad pengenalan Vietnam mereka, namun gagal mengemukakan apa-apa dokumen pendaftaran bot nelayan tempatan meskipun dikatakan berdaftar di Terengganu.

    “Hanya dokumen pendaftaran bot Vietnam sahaja dijumpai di sebuah daripada bot,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

    Mohd Zulfadli berkata berikutan penahanan itu, pihaknya telah merampas kedua-dua bot selain daripada minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut yang kesemuanya dianggarkan hampir RM8 juta.

    “Di samping ikan, bot-bot ini turut menangkap sotong untuk dijadikan sotong kering yang bernilai tinggi di Vietnam,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda