NAIROBI, 2 OKT – Kira-kira 45 orang maut dan ramai lagi dilaporkan hilang selepas dua bot pendatang karam di luar pantai Djibouti, kata agensi penghijrahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Kejadian yang berlaku di Laut Merah di luar negara Afrika timur itu adalah yang terbaharu yang melanda laluan berbahaya yang dikenali sebagai Laluan Timur bagi pendatang dari Afrika.
Bot itu telah bertolak dari Yaman dengan membawa 310 orang, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).
“Setakat ini, 32 orang mangsa berjaya diselamatkan,” kata IOM di platform X, sambil menambah mereka sedang membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.
Pengawal pantai Djibouti berkata bahawa tragedi itu berlaku kira-kira 150 meter dari pantai berhampiran wilayah barat laut Khor Angar.
Ia berkata usaha menyelamat bersama sedang dijalankan, yang bermula pada awal Isnin, disokong oleh tentera laut Perancis. Mereka menganggarkan jumlah mangsa yang terselamat seramai 115 orang.
“Kami tetap komited untuk mencari orang hilang dan memastikan keselamatan mangsa yang terselamat,” kata agensi itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial, dengan gambar beg mayat putih. – AFP