Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua botol plastik disyaki IED pada tayar kereta Siti Kasim

    KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Dua botol plastik yang dijumpai di bahagian bawah kereta milik peguam Siti Kasim disyaki bahan letupan termampat (IED), kata Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor.

    Beliau berkata objek menyerupai bahan letupan itu diletakkan di brek bahagian tayar sebelah belakang kereta jenis Toyota Celica milik peguam dan aktivis sosial berkenaan.

    “Polis menerima panggilan daripada peguam itu pada 12:58 tengah hari ini yang memaklumkan terdapat objek seperti bom diletakkan di bahagian brek keretanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Beliau berkata objek itu dikesan oleh mekanik sebuah pusat servis kenderaan di Bangsar ketika kereta tersebut dihantar untuk penyelenggaraan sebelum peguam berkenaan memulakan perjalanan ke Kelantan.

    Berikutan insiden itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati laluan utama di Jalan Maarof ditutup kira-kira tiga jam selain dipantau ketat oleh polis.

    Ditanya sama ada bahan letupan itu masih aktif dan menggunakan alat kawalan jauh, Amihizam berkata siasatan lanjut akan dilaksanakan untuk mengesahkan beberapa elemen objek yang ditemukan itu.

    “Belum tahu sama ada bom itu boleh dikawal atau tidak. Masih dalam siasatan dan bahan letupan ini ada beberapa elemen untuk sahkan benda itu. Jadi, kita kena hantar kepada pakar kerana mereka terpaksa ‘bina balik’ baru dapat sahkan perkara itu,” katanya. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda