Dua buah rumah musnah dijilat api

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Dua buah rumah ranap dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sumbiling Lama, Jalan Istana Darussalam, di ibu negara, petang tadi, bagaimanapun tiada korban jiwa dilaporkan.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), kebakaran berpunca daripada bekas minyak yang melekat di bawah dapur gas yang berlapikkan kertas selepas menggoreng keropok.

JBP melaporkan bahawa panggilan kecemasan mengenai kejadian itu telah diterima pada jam 4:54 petang dan tiga buah jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan sebuah jentera dari Balai Bomba Berakas dikerahkan ke tempat kejadian dengan seramai 16 orang anggota yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, SSFR Yudieswandy bin Bakar. Api berjaya dikawal dalam masa 30 minit.

Kebakaran bermula di salah sebuah rumah sebelum melarat ke sebuah rumah yang berdekatan, menurut laporan itu lagi.

Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran yang berlaku ke atas dua buah rumah yang terlibat.

Salah sebuah rumah dimiliki seorang perempuan warga tempatan dengan 10 orang penghuni di tingkat atas manakala itu, tingkat bawah dihuni oleh dua orang penyewa yang masing-masing warga Brunei dan India,

Keseluruhan rumah tersebut diperbuat daripada kayu dan sebahagiannya konkrit, berlantaikan kayu dan beratapkan spandik. Manakala itu, sebuah lagi rumah dihuni oleh tujuh orang warga Indonesia dan India (penyewa) di tingkat atas manakala itu, di bawah dihuni oleh warga Indonesia (penyewa).

Rumah tersebut diperbuat daripada kayu (tingkat atas) dan konkrit (tingkat bawah). Pihak bomba menyatakan, kesemua penghuni keluar dengan selamat sebelum jentera bomba tiba di tempat kejadian. Kerugian dianggarkan berjumlah $75,000 daripada kejadian tersebut.