Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua buku terbitan MSSBRPAD dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD) Kampung Manggis Madang mengadakan Majlis Pelancaran Buku Terbitan MSSBRPAD bertempat di masjid berkenaan, kelmarin.

    Majlis pelancaran buku disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Penaung Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun ke-10 MSSBRPAD Kampung Manggis Madang.

    Sebanyak dua buah buku telah dilancarkan di majlis berkenaan, iaitu buku Kenangan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang yang diusahakan oleh Jawatankuasa Penerbitan dipengerusikan oleh Haji Mohd Yusof bin Haji Abdul Rahman dan Dari Serambi Mekah: Pembisaian Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Manggis Madang oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Buku Kenangan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang adalah penerbitan khas sempena sambutan ulang tahun ke-10 masjid ini yang memuat antara lain sejarah pembinaan masjid itu.

    Selain itu, buku itu merekodkan kebanyakan aktiviti yang dilaksanakan oleh jawatankuasa takmir masjid dalam usaha mengimarahkan masjid menerusi program majlis ilmu, pembelajaran Al-Quran, sambutan-sambutan hari-hari kebesaran Islam, rancangan pemedulian anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan serta rancangan sukan dan riadah.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir pada majlis pelancaran dua buku terbitan MSSBRPAD, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ‘Sekapur Sireh’ buku itu telah menyatakan bahawa jemaah masjid dalam semangat persefahaman yang baik antara pegawai-pegawai masjid sentiasa sepadu dan sehaluan bermuafakat memakmurkan masjid itu dengan kegiatan-kegiatan ibadah dan kebajikan dan kegiatan keagamaan lain.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan untuk era selepas 10 tahun ke hadapan, jawatankuasa takmir berinisiatif melancarkan projek memperindah ruang dalam dan luar masjid dengan jubin-jubin bertulisan kaligrafi ayat-ayat Al-Quran dengan ukiran bermotifkan manggis dan madang.

    Sehubungan itu, ahli jawatankuasa takmir masjid berjaya menggerakkan sokongan orang ramai untuk tampil berwakaf dan menyumbang bagi menjayakan projek hiasan dalaman masjid itu.

    Sementara itu, buku Dari Serambi Mekah: Pembisaian Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Manggis Madang pula merakamkan pengalaman, pengamatan dan pemerhatian rombongan sebahagian ahli jawatankuasa takmir masjid dalam jejak silaturahim melaksanakan lawatan ke Aceh dan Medan di Indonesia dan Yayasan Restu di Malaysia dari 28 Oktober hingga 3 November 2023, menyaksikan secara dekat situasi di Aceh dan memerhati perubahan dan perkembangan sosioekonomi dan politik dan masyarakat di wilayah berkenaan selepas tsunami.

    Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr Haji Mohammad Hadi bin Mohammad Melayong akan membuat resensi kedua-dua buah buku berkenaan.

    Sempena majlis pelancaran ini, kedua-dua buah buku ini akan dijual kepada orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda