BELAGA, 30 Dis – Sekitar 8 malam, penduduk Uma Nyalang Seping mula memenuhi ruai di bahagian tengah rumah panjang masyarakat Kenyah yang terletak di Long Koyan, Batu 6, Sungai Asap itu.
Di satu sudut di bahagian tersebut, kelihatan seorang wanita muda sedang membuat penalaan terhadap sape, instrumen muzik bertali masyarakat Orang Ulu sebagai persediaan terakhir sebelum membuat persembahan meraikan tetamu tanda kesyukuran sempurnanya majlis perasmian tapak gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di petempatan tersebut baru-baru ini.
Iyurni Ului, 22, mengakui dia gementar namun tetap menguatkan hati untuk membuat persembahan terbaik, hari bersejarah buat dirinya kerana kali pertama memetik sape di depan khalayak ramai dan yang lebih menarik di samping suami Donny Bilong, 37.
“Saya memang minat untuk belajar memetik sape sejak dulu lagi, waktu itu tidak ada instrumen tersebut jadi sukar untuk saya mencubanya. Saya baru belajar bermain sape milik suami kira-kira dua bulan lepas selepas berhenti kerja di Bintulu dan kembali menetap di Sungai Asap,” katanya kepada Bernama.
Pada malam tersebut, pasangan yang akan menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka bulan ini bergandingan memetik sape mengalunkan muzik tradisional yang turut dimeriahkan dengan tarian masyarakat Orang Ulu oleh tetamu yang datang.
Mengakui pada mulanya, dia menghadapi kesukaran untuk mengenal not sape, Iyurni berkata namun atas minat yang cukup, perkara tersebut dapat diatasinya. Iyurni amat bertuah kerana Donny, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Uma Sambop seorang pemain sape yang baik malahan hasil tunjuk ajar suaminya itu dia kini semakin mahir memetik alat muzik itu bukti manifesti cintanya terhadap budaya masyarakat Orang Ulu.
“Suami memang menyokong minat saya, selain tunjuk ajarnya saya sendiri memiliki kemahiran bermain gitar jadi tidaklah kekok sangat. – Bernama
