Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret baru-baru ini selepas didapati bersalah menyertai aktiviti perjudian haram di Pasar Gadong.
Ketua Majistret Pengiran Hajah Norismayanti Pengiran Haji Ismail memerintahkan Othman bin Yacob untuk membayar denda $2,400 atau menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membuat bayaran.
Sementara itu, Khairul Ariffin bin Haji Abdul Wahab didenda sebanyak $2,000 dan juga penjara dua bulan jika gagal membuat bayaran.
Dakwaan dibuat susulan serbuan polis di pasar berkenaan pada 18 September 2023 lalu sebagai tindakan daripada aduan orang ramai tentang perjudian yang melibatkan permainan ‘katam-katam’ tradisional yang dikendalikan melalui aplikasi telefon mudah alih.
Sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan bukti berkaitan lain turu dirampas semasa serbuan.
Pendakwa Raya, Aeny Zullizam menyampaikan keterangan daripada tujuh saksi, termasuk pakar forensik digital yang telah mengesahkan bahawa aplikasi permainan Real Fish Prawn Crab telah dipasang pada telefon bimbit Redmi Note 7 milik Othman.
Mahkamah mendapati bahawa $6 dan RM1 diperoleh daripada Khairul, manakala rampasan seterusnya membawa kepada perolehan semula sebanyak $715.30 dan SGD0.50.
Bukti bergambar mengenai barang rampasan turut dikemukakan di mahkamah.
Pakar digital polis mengesahkan bahawa aplikasi perjudian telah dipasang pada peranti berkenaan sejak 8 September 2023.
Imej dan rakaman video berjaya menunjukkan permainan melibatkan perjudian tersebut pernah digunakan.
Seorang saksi, rakan lama defendan, memberi keterangan menyaksikan permainan itu dimainkan di telefon Othman semasa di pasar dan turut menjelaskan bahawa pertaruhan diletakkan berdasarkan jubin bangku yang sepadan dengan simbol aplikasi, dengan pembayaran dikendalikan oleh peniaga yang dirujuk sebagai ‘Cong’.
Bagaimanapun, kedua-dua defendan menafikan pertuduhan berkenaan apabila Othman mendakwa dia berada di pasar semata-mata untuk membeli ikan dan menafikan sebarang pengetahuan tentang aplikasi perjudian tersebut serta mendakwa polis mereka-reka bukti terhadapnya.
Khairul pula mengaku berada di tempat kejadian tetapi menafikan berjudi dan menegaskan wang tunai yang dirampas itu bertujuan untuk rawatan veterinar kucing anaknya yang turut disokong dengan resit.
Tetapi mahkamah telah menolak pembelaan mereka dan mendapati kes pendakwaan boleh dipercayai.
Dalam keputusannya, Ketua Majistret menegaskan bahawa aktiviti perjudian tersebut merupakan perjudian di bawah Akta Rumah Perjudian Biasa (CGHA) dan pasar berkenaan disifatkan sebagai tempat awam di bawah undang-undang.
Semasa mempertimbangkan hukuman, mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan, kegagalan defendan untuk mengaku bersalah pada peringkat awal dan juga rekod jenayah mereka sebelum ini.
