Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Dua orang warga tempatan telah ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) setelah cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, yang seterusnya membawa kepada penemuan barang tegahan berupa 13 karton dan 10 paket rokok pelbagai jenis.
Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam baru-baru ini semasa rondaan rutin yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Bangar di kawasan Kampung Puni, ketika sebuah kenderaan jenis Proton Exora telah dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, pemandu kenderaan terbabit enggan mematuhi arahan dan menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar sehingga ke kawasan Jambatan Pekan Bangar, di mana kenderaan berkenaan akhirnya berjaya dihentikan.
Pemeriksaan lanjut menemui sebuah plastik berisi rokok seludup dan kedua-dua suspek ditahan serta dibawa ke Balai Polis Bangar. Barang tegahan dan suspek kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB dalam kenyataan menegaskan komitmen berterusan mereka dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ke talian 993 atau ke mana-mana balai polis yang berdekatan.
