SEOUL, 15 MEI – Dua individu ditahan kerana didakwa memeras ugut kapten Tottenham Hotspur dan Korea Selatan, Son Heung-min, kata polis hari ini.
Tertuduh adalah seorang wanita berusia 20an dan seorang lelaki dalam lingkungan 40an, kata jurucakap Agensi Polis Kebangsaan Korea kepada AFP.
Menurut agensi berita Yonhap, kedua-dua suspek didakwa cuba memeras wang daripada penyerang berusia 32 tahun itu dengan mendakwa bahawa wanita terbabit sedang mengandungkan anak Son.
Agensi pengurusan pemain itu, Son & Football Limited, berkata mereka sudah membuat laporan polis kerana memeras ugut dan akan mengambil ‘tindakan undang-undang tegas tanpa sebarang tolak ansur’.
Kedua-dua suspek ‘mengugut pemain itu dengan ancaman mereka akan menyebarkan maklumat palsu,’ dakwa agensi itu dalam satu kenyataan.
“Kami ingin menegaskan bahawa Son Heung-min adalah mangsa sebenar dalam kes ini,” tambah kenyataan itu. – AFP

– AFP