Thursday, January 23, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua ditahan selepas korek lubang di Tembok Besar China

    BEIJING, 5 SEPT – Dua orang telah ditahan selepas menggunakan mesin pengorek untuk menggali lubang di Tembok Besar China, menurut penyiar negara CCTV.

    Polis di wilayah Shanxi mengikut jejak yang ditinggalkan oleh jentera yang digunakan untuk menggali jalan pintas melalui bahagian tembok tinggalan struktur besar yang dibina oleh maharaja China untuk menghalang penceroboh asing.

    Kedua-dua suspek semasa disoal siasat mengaku bahawa mereka telah menggunakan mesin pengorek untuk membuat jalan pintas di tembok dalam usaha untuk memendekkan masa perjalanan tempatan, menurut laporan media kerajaan.

    Pembinaan Tembok Besar, yang dipecahkan menjadi beberapa bahagian yang keseluruhannya sepanjang beribu-ribu kilometer, mula dibina pada abad ketiga sebelum Masihi dan diteruskan selama berabad-abad.

    Bahagian Tembok Besar yang terjejas, terletak kira-kira enam jam pemanduan ke barat pusat Beijing, bermula sejak Dinasti Ming pada abad ke-14 hingga ke-17.

    Penyiar negara CCTV kelmarin melaporkan bahawa suspek telah mengakibatkan ‘kerosakan yang tidak dapat dipulihkan’ pada dinding era Ming, yang digambarkan sebagai ‘agak kukuh’ dengan nilai penyelidikan yang signifikan. – AFP

    Pemandangan udara Tembok Besar China. Dua orang telah ditahan selepas menggunakan mesin pengorek untuk menggali lubang di Tembok Besar China. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda