LONDON, 16 JAN – Polis UK kelmarin memaklumkan bahawa mereka telah menahan dua remaja lelaki atas tuduhan membunuh selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditikam hingga mati di dalam sebuah bas di London.
Kelyan Bokassa meninggal dunia selepas diserang pada siang hari minggu lalu di kawasan Woolwich, tenggara London, insiden terkini dalam siri kejadian tragis melibatkan kematian remaja akibat tikaman.
Kira-kira 10 remaja maut akibat tikaman di London tahun lalu, manakala 18 remaja mengalami nasib sama pada tahun 2023.
Polis menyatakan bahawa dua suspek yang sedang disoal siasat masing-masing berumur 15 dan 16 tahun.
Gambar Kelyan yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar British selepas kematiannya menunjukkan seorang budak lelaki muda yang tersenyum, yang menurut ibunya,
telah menjadi sasaran ahli kumpulan samseng.
Ibunya mendedahkan bahawa sepanjang hidupnya yang penuh cabaran, pihak berkuasa telah mengenal pasti Kelyan sebagai individu yang berisiko terlibat dengan kumpulan samseng sejak umur enam tahun.
Selepas itu, dia ditempatkan di bawah jagaan pihak berwajib dan pernah menghabiskan masa hidup di jalanan, katanya.
Pembunuhan Kelyan berlaku sehari selepas seorang budak lelaki berusia 18 tahun cedera parah akibat tikaman di lokasi yang hanya beberapa kilometer dari situ.
Pada September tahun lalu, seorang budak lelaki berusia 15 tahun, dilaporkan kawan rapat Kelyan, juga ditikam hingga mati di Woolwich, dalam apa yang disifatkan oleh pendakwa sebagai tindakan balas yang berkaitan dengan peperangan kawasan.
Kira-kira 27,000 orang muda berumur 10-17 tahun pada 2017 dikenal pasti sebagai ahli kumpulan jalanan, menurut angka yang diterbitkan dalam laporan Kementerian Kehakiman baru-baru ini. – AFP