DENPASAR, 17 JUN – Dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki Australia di sebuah vila di pulau peranginan popular Indonesia, Bali, telah ditahan selepas beberapa hari diburu, kata polis hari ini.
Pihak berkuasa sebelum ini memburu dua lelaki berikutan insiden tembakan terhadap Zivan Radmanovic, seorang warga Australia berusia 32 tahun, pada Sabtu lalu.
Mangsa dibunuh selepas dua individu menyerbu masuk ke dalam vilanya di kawasan pelancongan Canggu dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan.
Seorang lagi lelaki, Sanar Ghanim, 34, turut cedera parah dalam serangan tersebut.
Salah seorang suspek berjaya ditahan di bandar Jakarta, manakala seorang lagi akan dibawa pulang dari luar negara, kata Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo, kepada wartawan tanpa mendedahkan nama negara atau butiran suspek.

“Berkaitan kes tembakan terhadap warga Australia, saya telah menerima laporan daripada Ketua Polis Daerah (di Bali). Mereka telah berjaya ditahan,” kata Listyo.
Tambahnya, “Seorang sudah berada di Jakarta, seorang lagi sedang dalam perjalanan dari luar negara dan akan masuk ke Jakarta.”
Penahanan itu dibuat hasil kerjasama antara polis Indonesia, pihak imigresen dan Polis Persekutuan Australia.
Beliau turut menyatakan polis Bali akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai tangkapan tersebut.
Polis Jakarta dan Kedutaan Australia di Jakarta belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.
Menurut kenyataan polis tempatan, saksi termasuk isteri Radmanovic berkata penyerang yang melarikan diri selepas kejadian bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Australia yang pekat.
Kejadian jenayah menggunakan senjata api di Bali dan Indonesia secara umumnya jarang berlaku dan negara kepulauan itu mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan senjata api haram. – AFP