PARIS, 4 FEB – Polis kereta api Perancis kelmarin menembak dan mencederakan dua orang, termasuk seorang lelaki yang menggunakan pistol palsu yang sedang menyembur cat swastika di stesen Paris, kata sumber polis dan pejabat pendakwa raya.
“Apabila lelaki yang sedang menyembur cat swastika kelihatan mengeluarkan senjata di stesen Gare d’Austerlitz di tenggara Paris, polis kereta api itu telah menembaknya dan seorang lagi individu beberapa kali,” beritahu sumber polis kepada AFP. Kedua-duanya telah mengalami kecederaan.
Pejabat pendakwa raya Paris berkata pistol itu merupakan senjata tiruan.
Individu yang melukis grafiti itu cedera parah, manakala seorang pengembara turut cedera apabila terkena pantulan dari peluru tembakan, katanya.
Kejadian itu menjejaskan lalu lintas di kawasan tersebut di mana perkhidmatan beberapa kereta api terpaksa ditangguh.
“Saya sedang duduk di luar stesen kereta api, hanya di hadapan pintu masuk. Saya terdengar tembakan dan orang menjerit,” beritahu seorang wanita, yang menyaksikan kejadian itu, kepada AFP dan enggan mendedahkan namanya.
Tambahnya, polis tiba dengan segera ke tempat kejadian.
Wanita itu menyangka ia adalah pertengkaran antara dua pemandu teksi.
Stesen kereta api itu telah ditutup kepada orang ramai kelmarin, kata seorang wartawan AFP.
Pegawai polis dan tentera turut dikerahkan ke tempat kejadian, dengan pengawal keselamatan ditempatkan di kawasan sekitar stesen kereta api tersebut. – AFP