BANGKOK, 6 OKT – Dua ekor gajah mati lemas semasa banjir kilat di kawasan tumpuan pelancong Thai yang popular di Chiang Mai, kata tempat perlindungan hari ini, ketika pihak berkuasa tempatan memindahkan pengunjung dari hotel dan kedai-kedai ditutup di pusat bandar.
Lebih 100 ekor gajah di Taman Alam Gajah di wilayah Chiang Mai telah dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi untuk diselamatkan daripada air banjir yang semakin meningkat, kata seorang pekerja dikenali sebagai Dada, kepada AFP.
Bagaimanapun, dua ekor gajah yang diberi nama oleh media tempatan sebagai Fahsai berusia 16 tahun dan Ploython yang buta berusia 40 tahun, telah ditemui mati, kelmarin.
“Mimpi ngeri terburuk saya menjadi kenyataan apabila saya melihat gajah terapung di dalam air,” kata pengarah Taman Alam Gajah, Saengduean Chailert, di utara Thailand kepada media tempatan.
“Saya tidak akan membiarkan perkara ini berlaku lagi dan tidak akan membuatkan ia lari daripada banjir,” katanya sambil berjanji untuk memindahkannya ke tempat yang lebih tinggi menjelang musim tengkujuh tahun depan.
Di pusat bandar Chiang Mai, orang ramai mengharungi air berlumpur hampir setinggi paras lutut di bazar malam, dan air mengalir ke pusat stesen kereta api, yang kini telah ditutup.
Pelancong terpaksa mengosongkan hotel dan stesen televisyen tempatan menunjukkan seorang sami membawa keranda melalui air banjir ke tapak pembakaran mayat.
Banjir besar telah melanda bahagian utara Thailand ketika hujan lebat baru-baru ini menyebabkan Sungai Ping mencecah paras berbahaya, menurut pejabat daerah Thailand.
Paras air meningkat kelmarin tetapi telah surut sedikit pada hari ini. – AFP