Dua empangan pecah, ribuan dipindahkan

SANFORD, AMERIKA SYARIKAT, 21 MEI – Lebih 10,000 penduduk dipindahkan dari rumah mereka di Michigan semalam selepas dua empangan pecah berikutan hujan lebat dan mencetuskan kebimbangan banjir teruk akan berlaku.

Gabenor Gretchen Whitmar mengisytiharkan keadaan darurat di Daerah Midland, tapak empangan pecah, di bandar Edenville dan Sanford.

Perkhidmatan Cuaca Nasional mengingatkan mengenai banjir kilat dan menyertai gabenor dalam menggesa penduduk di kawasan tersebut supaya mencari tempat perlindungan yang lebih tinggi dengan segera.

Kawasan pusat bandar Midland, bandar yang mempunyai 42,000 penduduk, bakal ditenggelami air setinggi sembilan kaki, menurut Whitmer, yang memberi amaran mengenai paras banjir tinggi ‘bersejarah.’

Bandar itu berkata di laman sesawang bahawa 11,000 orang sudah dipindahkan, dan tidak ada kematian yang dilaporkan.

Pemandangan udara menunjukkan Sungai Tittabawassee selepas ia sebuah empangan pecah membanjiri kampung berhampiran Sanford, Michigan pada 20 Mei. – AFP

“Semua penduduk digesa supaya berpindah,” kata bandar dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa berkata Sungai Tittabawassee yang mengalir menerusi Midland kini sudah mencecah 35 kaki, melebihi paras banjir dan satu kaki lebih tinggi berbanding tahap rekod yang pernah dicatat sebelumnya pada 1986.

Sungai itu dijangka naik tiga kaki lagi sebelum mencecah tahap kemuncak.

Gambar yang diambil dari helikopter menunjukkan sebahagian besar kawasan ditenggelami, jambatan dihanyutkan dan rumah serta bangunan dibanjiri.

Bencana banjir dan pemindahan diburukkan lagi oleh pandemik koronavirus, yang memaksa penduduk mengamalkan penjarakan sosial.

“Sangat sukar untuk mempercayai bahawa kami berada di tengah krisis 100 tahun, pandemik global, dan juga kini kami terpaksa berdepan dengan banjir yang paling teruk dalam tempoh 500 tahun,” kata Whitmar. – AFP