Monday, February 10, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua gempa bumi gegar Laut Caribbean

    TEGUCIGALPA/MOSCOW, 9 FEB – Dua gempa bumi berasingan berukuran 7.3 dan 7.6 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Laut Caribbean, masing-masing di Kepulauan Cayman dan utara Honduras, kelmarin, dengan amaran tsunami masih berkuat kuasa.

    Gempa pertama berukuran 7.3 pada skala Richter berlaku di utara Honduras pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa terletak berhampiran Kepulauan Cayman, kira-kira 298 kilometer di utara-timur laut Puerto Lempira.

    Gegaran itu dirasai selama kira-kira 15 saat di utara Honduras serta di barat Cuba.

    Tiada kerosakan dilaporkan setakat ini, namun pemantauan berterusan dilakukan sebagai langkah pencegahan.

    COPECO Honduras telah mengisytiharkan amaran kuning untuk pantai Caribbean Honduras selama 24 jam bermula 6 petang Sabtu waktu tempatan.

    Terdahulu, gempa kedua berukuran 7.6 pada skala Richter direkodkan berhampiran Pulau Cayman, dengan pusat gempa dikesan pada kedalaman 10 kilometer.

    Sebelumnya, satu gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter dilaporkan berlaku kira-kira 209 kilometer di barat daya ibu kota Pulau Cayman, George Town.

    Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan. Amaran tsunami masih berkuat kuasa. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda