Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua gerai makanan terima notis perobohan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dua buah gerai makanan sempena Ramadan di Kampung Sungai Orok, Mukim Berakas dan Kampung Jerudong, Mukim Sengkurong telah menerima notis daripada pihak Autoriti Perancang kerana melanggar undang-udang Perancang Bandar dan Desa dengan secara material menukar penggunaan tanah yang ditetapkan untuk tempat letak kereta dengan mendirikan gerai di tempat tersebut.

    Penggunaan kawasan letak kereta selain daripada tujuan yang dimaksudkan menimbulkan isu keselamatan dan keselesaan yang serius seperti kekurangan ruang letak kereta di lokasi tersebut yang menyebabkan kereta diletakkan secara haram di sekitar kawasan, yang seterusnya menyebabkan peningkatan pejalan kaki yang melintas jalan dari pelbagai arah.

    Kehadiran struktur yang tidak sah seperti gerai telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas yang teruk pada masa lalu, selain mengganggu kelancaran lalu lintas kenderaan dan menyebabkan kesulitan, gangguan dan kelewatan kepada pengguna jalan raya dan pelanggan kedai.

    Pihak Autoriti Perancang menyatakan bahawa aktiviti gerai tersebut harus dijalankan di kawasan atau bangunan yang selamat dan kondusif yang telah disediakan dengan baik untuk menangani orang ramai dan lalu lintas.

    Ianya lebih baik jika dilengkapi dengan infrastruktur dan utiliti yang sesuai untuk mengelakkan sambungan elektrik dan air yang tidak sah yang mungkin menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan.

    Pengendali telah diberikan notis selama dua hari untuk merobohkan gerai yang didirikan di kawasan tempat letak kereta, dan jika gagal akan mengakibatkan pengeluaran denda berdasarkan Seksyen 58 Akta Perancangan Bandar dan Desa.

    Gerai makanan yang telah menerima notis daripada pihak Autoriti Perancang kerana melanggar undang-undang Perancang Bandar dan Desa. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda