Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua gol cantik benam Everton

    LONDON, 2 Jan – Manchester United mengembalikan semula senyuman di wajah Jose Mourinho apabila gol cantik daripada Anthony Martial dan Jesse Lingard mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Goodison Park, awal pagi tadi.

    Kemenangan pada Tahun Baru itu menyaksikan United kembali merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea untuk sekurang-kurangnya 24 jam dan 12 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City.

    Tanpa kehadiran Romelu Lukaku yang cedera, Martial memulakan aksi dalam kesebelasan utama dan penyerang Perancis itu memecah kebuntuan pada minit ke-54.

    Bergandingan dengan pemain tengah Paul Pogba, Martial dengan bijak mencari ruang di dalam kotak penalti sebelum meledak jaringan kesembilannya musim ini.

    Selepas bergelut pada penghujung 2017 dengan melakar tiga keputusan seri berturut-turut, United tampak lebih bersemangat pada perlawanan pertama mereka pada 2018 yang menyaksikan Lingard mengesahkan tiga mata pada minit ke-81.

    Jesse Lingard (kiri) bersama Paul Pogba bergembira selepas Lingard menjaringkan gol kedua dalam perlawanan menentang Everton awal pagi tadi. – AP

    Pemain sayap itu menewaskan beberapa pemain Everton sebelum melepaskan sepakan lencong dari jarak 18 meter untuk menjaringkan gol keempatnya dalam lima perlawanan terakhir.

    Kemenangan jelas menjadi penawar yang sempurna buat Mourinho sejak timbul laporan pengurus United mula kehilangan sokongan daripada pemainnya selepas menggelar mereka ‘kebudak-budakan’ dan ‘tidak matang.’

    Malah pengurus kelahiran Portugal itu turut mengakui skuad kendaliannya memerlukan pelaburan yang besar untuk mengejar City.

    Sementara itu, Jose Mourinho membidas bekas pemain Manchester United Paul Scholes selepas pemain tengah itu mengkritik pengurus dan beberapa pemain utama United.

    Scholes menempelak Paul Pogba selepas mempamerkan aksi yang hambar hujung minggu lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan dengan Southampton.

    Tetapi pemain antarabangsa Perancis itu beraksi dengan baik dalam perlawanan awal pagi tadi sekali gus menamatkan rekod seri tiga perlawanan berturut-turut. Dengan kemenangan tadi Mourinho melancarkan serangan verbal ke atas Scholes, yang terlibat dalam sejarah United dan digelar ‘Class of 92’.

    “Saya rasa, Scholes hanya tahu mengkritik,” kata Mourinho. “Saya tidak rasa dia memberi komen, saya rasa dia memberi kritikan, dua perkara yang berbeza.”

    Scholes menuduh Pogba gagal untuk memberi impak kepada pasukan selepas penghijrahan yang bernilai AS$120 juta. Namun Mourinho cuba untuk melindungi pemainnya dan menyatakan bahawa sikap Scholes itu dipenuhi dengan cemburu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda