CARDIFF, 14 OKT – Kevin De Bruyne berjaya menjaringkan dua gol penalti ketika Belgium memperkukuh peluang mereka untuk layak ke Piala Dunia dengan kemenangan penting 4-2 ke atas Wales kelmarin.
Pasukan Rudi Garcia ketinggalan dahulu melalui gol awal Joe Rodon di Stadium Cardiff City.
Namun, De Bruyne menyamakan kedudukan melalui penalti dan Thomas Meunier membawa Belgium di hadapan sebelum separuh masa pertama berakhir.
De Bruyne menambah satu lagi gol penalti pada minit-minit terakhir sebelum Nathan Broadhead membalas untuk tuan rumah.
Leandro Trossard menamatkan harapan Wales untuk kebangkitan dramatik apabila Belgium bergerak ke tangga teratas Kumpulan J.
Belgium kini satu mata di hadapan North Macedonia di tangga kedua, yang seri 1-1 menentang Kazakhstan kelmarin.
Mereka akan dijamin layak sekiranya menang dalam salah satu daripada baki perlawanan menentang Kazakhstan atau Liechtenstein pada November.
Red Devils tidak pernah tewas dalam kelayakan Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah dalam 46 perlawanan sejak Gareth Bale membawa kemenangan mengejut Wales ke atas mereka pada 2015.
Wales kini berada di tempat ketiga selepas mensia-siakan peluang untuk mendekati kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. – AFP


